Mulakan dengan basmallah

Mulakan dengan basmallah

Tuesday, 31 May 2016

Refleksi Akhirku

Assalamualaikum dan salam sejahtera..



Apa khabar sahabat sekalian? Mudah mudahan sentiasa dalam keadaan baik. Baru-baru ini 28 Mei 2016 merupakan kelas terakhir saya bersama Dr Nurul dan sahabat yang lain bagi kursus SFP6024. Teringat lagi, saat kali pertama saya melangkah ke dalam kelas pada 27 Februari 2016 yang lalu. Dengan perasaan gementar sebab rasa ilmu tidak penuh di dada, bercampur dengan first time belajar dengan Dr Nurul membuatkan saya rasa betul-betul tidak bersedia. Tetapi segala perasaan negatif itu saya tolak ketepi tatkala melihat Dr Nurul masuk ke dalam kelas. Satu aura yang dapat saya rasakan di mana tidak semua guru mempunyai aura tersebut. Intonasi suaranya yang menarik perhatian, gerak tubuhnya yang membuatkan saya sentiasa fokus di hadapan dan pelbagai lagi. 



Tik tok tik tok, jam berdetik tidak sedar bahawa kelas SFP6024 sudah berada di penghujungnya. Tidak sangka segala tugasan yang pada awalnya dirasakan berat dan tidak mampu dilakukan, akhirnya berjaya disempurnakan. Banyak ilmu baru yang saya perolehi daripada menghadiri kursus ini. Sememangnya ilmu ini sangat berguna untuk dipraktikkan dalam mendidik anak bangsa di luar sana. Selain itu, dengan menghadiri kursus ini membuatkan saya sedar betapa banyak perkara yang saya tidak tahu selama ini. Benarlah orang kata.. semakin banyak kita belajar, semakin banyak kita rasa kita tak tahu..

Antara tugasan yang telah dilakukan di dalam kursus ini ialah ;
  1. Kajian tindakan bertajuk 'Keberkesanan Penggunaan Tracker Dalam Meningkatan Pemahaman Pelajar Bagi Topik Gerakan Jatuh Bebas' yang dijalankan di SMK Bidor. (klik link ini action research azie )
  2. Video Pengajaran Inovatif dengan menggunakan Web 2.0 tools, Video Analysis and Modelling Tool Tracker (klik link ini video inovatif )
  3. Blog Refleksi "Corat Coret Guru Fizik" (klik link ini http://aziefizik187.blogspot.my/ )
  4. MOOC dengan menyertai kursus "Powerful Tool for Teaching and Learning" yang disediakan oleh Coursera. Menonton video pengajaran bagi 5 minggu dan menjawab kuiz yang disediakan. (klik link ini https://www.coursera.org/course/newtechtools )

Alhamdulillah semua tugasan dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan. Sesungguhnya banyak perkara yang dapat dipelajari melalui setiap tugasan ini. Antaranya saya dapat membina blog sendiri, macam sekarang ;) Saya yang sememangnya tidak mempunyai pengalaman dan tidak pandai menyusun ayat di dalam blog, akhirnya berjaya melakukannya. Selain itu, pengalaman menjalankan kajian tindakan di SMK Bidor merupakan satu pengalaman berharga buat saya kerana dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari di dalam kelas. Di samping menyediakan video inovatif yang bermula daripada proses rakaman hingga ke proses suntingan. Saya yang kurang arif dalam proses suntingan ini berjaya menghasilkan sebuah video inovatif dengan menggunakan perisian Corel Video Studio Pro X7 walaupun terdapat beberapa kekurangan dari segi isi kandungan video ;) MOOC yang selama ini cuma meniti di bibir semua orang dan saya hanya mendengar sahaja, akhirnya dapat saya enroll di Coursera. Satu ilmu dan pengalaman yang bakal menjadi titik tolak buat saya untuk menjadikan diri saya seorang guru yang berilmu lagi berinovasi. Selain itu melalui pembelajaran seperti PBL, TBL dan lain -lain juga sangat menarik dan merupakan satu pengalaman yang baru buat saya. Yang menariknya, saya dah belajar bagaimana nak membina senario masalah PBL yang ya ampunnn susah sangat. Tapi, sekurangnya saya dah belajar tekniknya melalui Dr Nurul.

Harapan saya adalah semoga segala ilmu yang dicurahkan akan sentiasa kekal dalam ingatan dan hati saya sendiri. Selain itu, saya berharap dapat mempraktikkan segala apa yang dipelajari di dalam kelas kelak. Memandangkan bulan hadapan saya akan menjadi seorang guru. Doakan saya ya! ;) Sejuta penghargaan buat Dr Nurul dan sahabat perjuangan SFP6024 di atas segala tunjuk ajar dan sokongan yang tiada bandingannya. Saya doakan semoga jasa dan ilmu yang dicurahkan ini akan menjadi saham buat kalian di akhirat kelak. InshaAllah 

Senyum semuaaaa ;D
Setakat ini sahaja perkongsian saya. Maaf jika ada terlebih mahupun terkurang sepanjang penulisan saya di dalam blog ini. Semoga blog ini terus 'hidup' selepas ini biarpun kursus SFP6024 sudah berakhir. Good luck untuk sahabat yang akan menduduki peperiksaan akhir dan good luck juga buat Dr.Nurul. Semoga terus sukses dalam karier Dr mendidik anak bangsa. You are really impress me Dr! I wish one day I will be like you ;)

Selamat Maju Jaya. Guys! Dont forget drop your comment ya! ;)

Thank for reading ;D 

Answer for my CGQ

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Apa khabar semua? Kalau kalian masih ingat lagi, pada awal pertemuan kita dalam SFP6024 dulu, Dr Nurul minta setiap orang untuk membina CGQ (Central Guiding Question) masing-masing. Tujuan CGQ ini adalah mengetahui matlamat kita menyertai kursus ini dan di akhir kursus kita perlu menjawab persoalan yang kita sediakan pada awalnya. CGQ ini sangat bagus kerana sebagai seorang pelajar kita perlu mempunyai hala tuju bagi setiap apa yang kita lakukan. Kalau orang tanya, apa yang awak nak dalam kursus SFP6024? Tak kan nak jawab, saje nak suka-suka. =.= So, thats why setiap daripada kita perlu ada sekurangnya 1 CGQ supaya  di sepanjang dan akhir pembelajaran kita dapat menjawab persoalan tersebut. 



Meh saya kongsikan CGQ saya iaitu "Bagaimanakah Teknologi Komunikasi dan Inovasi diterapkan dalam P&P Fizik di Sekolah?

Maka disini saya ingin merungkai persoalan yang saya ada pada awal saya terlibat dalam kursus ini. Sememangnya teknologi komunikasi dan inovasi sudah sedia diterapkan di sekolah. Cuma, sebagai seorang guru kita tidak mempelbagaikan inovasi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru lebih selesa dengan kaedah tradisional iaitu chalk and talk yang memang tidak boleh dinafikan keberkesanannya sejak dahulu lagi. Dengan penggunaan Web 2.0 Tools yang terdiri daripada alat komunikasi, kolaborasi dan kreativiti. yang sememangnya banyak disediakan di internet seperti  Skype, Google Hangout, Plickers, Wikispace, Kahoot, Trackers, Visual Analyser, Edmodo, Voicethread dan pelbagai lagi. Dengan adanya alat-alat seperti ini, ia akan menjadi inovasi buat guru yang belum pernah menggunakannya bersama para pelajar. Bukankah pembelajaran menjadi semakin menarik dengan adanya penggunaan alat komunikasi kolaborasi dan kreativiti ini?



Selain itu kaedah pembelajaran seperti Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBL) Pembelajaran Berasaskan Pemikiran (TBL), dan Pembelajaran Inkuri juga boleh dijalankan di dalam kelas. Kaedah PBL dapat memperkembangkan kemampuan pelajar berfikir secara kritis dan kreatif . Ini kerana PBL membantu pelajar berfikir dan menyelesaikan masalah yang diberikan. Pelajar akan mencari jalan penyelesaian berdasarkan segala pengetahuan yang mereka ada sekaligus dapat meningkatkan lagi pengetahuan mereka kerana mereka perlu mencari jawapan melalui pembacaan dan perkongsian idea bersama rakan-rakan di dalam kumpulan. Manakala TBL merupakan satu teori yang unik di mana pengajaran kandungan dan pengajaran kemahiran berfikir disebatikan.  Sekaligus ia akan menghasilkan serta memupuk kemahiran berfikir secara cekap dalam kalangan pelajar. Tetapi perlu diingatkan, sebagai guru selaku fasilitator kita perlu bijak mengendalikan pembelajaran tersebut supaya para pelajar fokus pada objektif pembelajaran.

Setakat itu sahaja kupasan saya. Bagaimana dengan CGQ kalian? Boleh kongsikan pada ruangan komen di bawah ;)

Selamat Maju Jaya!



ICT dalam PdP

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Kali ini saya ingin tulis berkaitan gabungan ICT dan P&P. Kenapa saya katakan begini? Kalau tengok pada nama kursus kita pun "Inovasi dan Teknologi dalam P&P". Pada abad ke 21 ini, gabungan ICT dan P&P ini sudah kelihatan sebati antara satu sama lain. Sekolah tidak ada pilihan melainkan menerima  perubahan dan fenomena ICT serta guru perlu cepat menguasai ilmu dan keterampilan ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Penggabungan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran memerlukan kemahiran dan komitmen guru secara tekal dan berfokus. Peranan guru dalam mengintegrasikan ICT terbabit dalam semua peringkat proses pembelajaran bermula daripada persediaan sebelum mengajar, semasa dan penilaian selepas P&P. Maka, sekiranya seorang guru gagal dalam membuat perancangan yang teliti ia akan merugikan pelajar dan menjadikan proses P&P kurang berkesan. Sedih kan? 

Menurut Pisapa (1994), integrasi ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabung bersama kaedah pengajaran. Guru perlu mengintegrasi ICT untuk memberi nilai tambah dalam aktiviti P&P. Integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas iaitu menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam P&P. 


Tetapi bagi saya, penguasaan ICT dalam kalangan guru sudah tidak menjadi masalah kerana dengan adanya bantuan internet, ia akan memudahkan lagi guru untuk mempelajari segala teknologi dan kemudahan yang ada. Bak kata pepatah, 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan' . ;D 

Setakat ini sahaja perkongsian saya! Jangan lupa komen di bawah ye ;p

Selamat Maju Jaya ;)




Kemahiran Memulakan Pengajaran

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Cuba kalian teka kali ini kita nak bincang mengenai apa? Saya beri 3 saat untuk berfikir. (Wait time 1, 2, 3) Alaaa senang sangat soalan kan? Tengok tajuk pun dah tahu, mestilah mengenai kemahiran memulakan pengajaran. Apa yang memanggil saya untuk membicarakan soal ini adalah selepas melihat video pengajaran yang dibentang sabtu baru-baru ini. 'Kemahiran Memulakan Pengajaran'. Emm dengar macam mudah, tapi tahukah kita bagaimana untuk memulakan pengajaran? Baru saya tahu bahawa nak mulakan kelas pun kena ada kemahiran jugak. Ingatkan masuk kelas, bagi salam, baca doa, tanya khabar dah dikira cukup sebagai mukadimah pengajaran. Rupanya ada banyak lagi. Bagi yang dah tahu, jom kita revise kembali dan bagi sesiapa yang baru nak belajar macam saya ni, meh kita hadam sama-sama ya..



Kemahiran memulakan pengajaran ataupun set induksi adalah merupakan bahagian permulaan dalam sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran dimana tujuan utama mengadakannya ialah untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat hendak disampaikan (Mok Sang Sang, 2001). Tujuan kita berlajar kemahiran memulakan pengajaran ini adalah untuk menarik perhatian pelajar serta memperkenalkan objektif pembelajaran. Kebiasaannya, pelajar tidak begitu bersemangat hendak memulakan sesuatu pembelajaran. Ke student kalian memang sentiasa bersemangat? Bagus la kalau sentiasa bersemangat ;) Ini penting kemahiran ini untuk guru menarik perhatian mereka supaya mereka tidak terawang- awang berada di alam sendiri walaupun guru berada di hadapan. Guru boleh menarik minta pelajar dengan menggunakan suara, pergerakan, isyarat, alat pandang dengar dan sebagainya. Mengikut kreativiti masing masing ye cikgu? ;D

Terdapat beberapa komponen kemahiran memulakan pengajaran. Antaranya;

  1. Menarik perhatian (suara, pergerakan, alat pandang dengar)
  2. Menimbulkan motivasi (hubungan baik antara guru dengan pelajar, ransang sifat ingin tahu)
  3. Menstruktur P&P (cungkil idea, buat ringkasan keseluruhan aktiviti P&P)
  4. Membuat perkaitan (banding beza, pengetahuan sedia ada, pengalaman berkaitan pelajar)


Dan dia atas saya ada sebut berkaitan mencungkil idea pelajar. Tahukah anda bagaimana ingin mencungkil idea pelajar? Ia boleh dilakukan dengan memberi masa 2-3 minit untuk pelajar berbincang di dalam kumpulan. Guru boleh membuat demonstrasi dan sertakan persoalan selepas itu. Kemudian diikuti dengan soal jawab keseluruhan kelas dan kuiz pendek. Kaedah ini disebut Ramal-Perhati-Terang atau dikenal POE (Predict-Observe-Explain). Pada ketikan itu, guru boleh mengnalpasti miskonsepsi yang ada para pelajar. Dan selalunya masa bagi memulakan pengajaran adalah dalam 6-7 minit sahaja.

Harapan saya, semoga saya dapat mengaplikasikan semua kemahiran semasa mengajar nanti. Oh yaa bagi sesiapa yang belum menonton video pengajaran saya boleh klik pada link ini video inovatif

Setakat ini sahaja perkongsian saya! Semoga bermanfaat ;)

Selamat Maju Jaya!




Monday, 30 May 2016

Kali Pertama Bersama Prezi

Assalamualaikum , salam sejahtera..




Baru-baru ini, saya selesai membentangkan kajian tindakan saya yang dijalankan di SMK Bidor. Tajuk kajian tindakan saya ialah 'Keberkesanan Penggunaan Perisian Tracker Terhadap Pemahaman Pelajar Dalam Topik Gerakan Jatuh Bebas'. Apabila Dr Nurul maklumkan bahawa ada seminggu lagi untuk pembentangan laporan kajian tindakan mini, saya mula berfikir. Apakah kelainan yang perlu saya lakukan kali ini? Al maklumlah, ini kan kelas teknologi dan inovasi. Why not kalau saya cuba menggunakan Web 2.0 tools yang masyaAllah banyak gile dekat internet tu.  Dah la banyak, lepas tu percuma lagi. Nikmat apa lagi yang hendak kau dustakan wahai nur azimah.. At last saya decide untuk menggunakan Prezi instead gunakan Microsoft Powerpoint. Sejujurnya, dah banyak kali saya berniat nak menggunakan Prezi dalam mana-mana pembentangan. Tetapi, setiap kali saya nak guna je.. mesti ada seseorang yang cakap "susah la azie, leceh tau kalau pakai Prezi. Better pakai ppt je". Kemudian , saya yang lemah lagi mudah terpengaruh ni pun terus down dan taknak guna Prezi lagi.  hehe, dahhh panjang pula mukaddimahnye.



Bagi kalian yang belum tahu apa itu prezi, meh saya ceritakan.  Prezi ini sama sahaja seperti powerpoint TETAPI ianya mempunyai ciri-ciri tambahan yang lebih menarik. Konsep Prezi adalah membina atas 'canvas' dan ini memudahkan penggunaan kombinasi teks, imej dan multimedia. Dan satu lagi, setiap item yang kita nak letakkan dalam Prezi ni mudah diubah dan kita boleh susun ikut kehendak dan citarasa kita. Menurut Tar (2009), terdapat beberapa kelebihan Prezi antaranya ;
  • Mempunyai unsur 'wow' berbanding powerpoint
  • Susun atur 'canvas' tidak perlu menggunakan terlalu banyak teks
  • Mudah menggabung audio, imej dan video dalam satu persembahan
  • Mudah untuk digabungkan
  • Lebih dinamik
  • Pendekatan yang hebat untuk visualisasi maklumat
  • Lebih menonjol dari pesaing yang ada





Saya setuju dengan point yang dinyatakan oleh Tar. Selain itu, Prezi ada menyediakan pelbagai template sedia ada yang menarik dan kita perlu pilih mengikut kesesuaian. Saya rasa teruja pada awalnya kerana banyak sangat template yang comel dan menarik sampai saya pun sukar nak buat pilihan. So itu perbezaan yang ketara berbanding kita menggunakan powerpoint.  Cuma, satu kelemahan yang saya nampak ialah Prezi ini perlu dilakukan secara online. Kalau sebelum ini, offline pun boleh. Mungkin creator dah tukar setting dan sekarang kita perlu buat projek secara online. Jadi bagi kalian yang merancang untuk menggunakan Prezi pada pembentangan yang akan datang, jangan lupa daftar akaun Prezi kalian terlebih dahulu disini https://prezi.com/ . Once dah daftar akaun, boleh log masuk  email dan kata kunci kalian seperti di bawah ;




Bagi sesiapa yang nak tengok hasil projek saya menggunakan Prezi, boleh klik link ini https://prezi.com/rl-k79nnkzc9/action-research/ . Mungkin tak begitu sempurna, tapi itu sudah memadai untuk beginner seperti saya. Ini merupakan satu proses pembelajaran buat saya, dan saya akan teruskan menggunakan Prezi pada pembentangan yang akan datang. 

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Semoga bermanfaat! 

Selamat Maju Jaya!





Sunday, 29 May 2016

Ke Arah Menjadi Seorang Guru Berinovasi

Assalamualaikum dan salam sejahtera..Diharapkan sahabat sekalian dalam keadaan sihat hendaknya. Memandangkan sekarang sudah masuk ke minggu yang terakhir pembelajaran, maka masing-masing sedang sibuk menyiapkan tugasan. Alhamdulillah cuma tinggal 1 lagi tugasan Dr. Nurul yang perlu diselesaikan. Baiklah berbalik kepada topik saya diatas iaitu mengenai guru berinovasi. Apa yang membuatkan jari saya menari untuk menaip berkaitan topik ini adalah apabila baru-baru ini saya membaca satu artikel yang disiarkan oleh Berita Harian online yang mengatakan 'Guru Berinovasi adalah Guru yang Berkualiti'. 



Kata-kata yang menarik perhatian saya pada tajuk artikel tersebut adalah ‘guru berinovasi’ dan ‘guru berkualiti’. Dilihat dahulu satu persatu apa yang dimaksudkan dengan inovasi dan juga kualiti. Kreatif dan inovatif sering disebut bersama-sama. Namun kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.Mengikut kamus dewan edisi keempat (2007), kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli manakala inovasi bermaksud sesuatu yg baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yg baru. Dari penerangan maksud ini dapat dilihat bahawa kreatif dan inovasi adalah berbeza.

Kreatif secara ringkasnya bermaksud mencipta sesuatu yang baharu manakala inovasi memperbaiki dan mempebaharui  sesuatu yang sedia ada. Ini kerana inovasi ini berasal dari perkataan bahasa latin ‘innovare’ yang bermaksud memperbaharui atau meminda. Ini disokong oleh Fullan (2011) yang menyatakan bahawa inovasi aadalah satu bentuk perubahan di mana proses inovasi itu mengiringi perubahan yang berlaku.  Inovasi juga dapat ditakrifkan mengikut banyak bidang antaranya mengikut bidang industri dimanainovasi adalah apabila beberapa barang  digabung menjadi satu,  pengeluaran barang yang baru, modifikasi terhadap barang yang sedia ada serta kegunaan baru bagi barangan lama (Ahmad Shukri Mohd. Naim & Amran Md. Rasli, 2005).

Dengan ini apa yang dapat saya simpulkan bahawa guru yang berinovasi adalah guru yang mampu untuk menghasilkan sesuatu yang baru yang dapat meningkatkan hasil proses pengajaran dan pembelajarannya. Seseorang yang inovatif dalam bidang mereka mampu untuk menghasilkan idea baru dengan  jayanya ‘dibawa ke pasaran’ sebagai produk atau perkhidmatan yang baru (atau diperbaharui).



Pada pendapat peribadi saya sendiri, guru berinovasi ini boleh dicirikan kepada beberapa perkara. Antaranya ialah guru berinovasi itu mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Banyak cabaran yang ditempuhi oleh generasi muda terutamanya pada era globalisasi ini. Sudah sepatutnya guru harus mampu untuk menyediakan murid-murid agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi pada masa kini.

Ciri kedua, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan yang lebih berkesan. Bagi saya, guru yang berinovasi ini adalah individu yang tidak  senang dengan keadaan berada di zon selesa (comfort zone). Mereka akan sentiasa untuk mencari alternatif baru dnegan cara mempelbagaikan kaedah dan aktiviti dalam bilik rajah mereka. Ini memerlukan kerajinan dan motivasi yang tinggi. Guru yang sudah lama mengajar selalunya akan menggunakan kaedah yang sama dan mereka akan berada pada zon selesa dan pada tahap ini perubahan adalah satu yang sukar untuk dilakukan sedangkan guru sebagai seorang pengamal perlu sentiasa meningkatkan amalannya atau melakukan penambahbaikan dalam pengajaran.

Hakikatnya, guru ini bersifat all-rounded di mana guru berinovatif ini guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata. Apa yang dapat saya simpulkan dari penyataan saya ini adalah guru berinovatif adalah guru yang mampu untuk berfikir satu langkah ke hadapan. Pada pandangan saya guru seumpama ini bukan sahaja mengajarkan tentang ilmu yang tersurat di dalam kurikulum semata-mata, ia mengajarkan tentang kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan. Guru seumpama ini juga sentiasa mengubah kaedah pengajarannya mengikut peredaran masa. Contohnya pada masa sekarang, teknologi adalah salah satu aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan.

Semoga dengan menghadiri kelas SFP6024 ini akan menjadi titik tolak buat saya untuk terus mengorak langkah dalam berusaha menjadi seorang guru berinovatif sekaligus berkualiti dalam mendidik anak bangsa. Doakan saya ya! Saya doakan rakan-rakan sekalian juga.  Pot pet pot pet, kita sudah berada di penghujung.

Setakat ini sahaja perkongsian saya.

Selamat Maju Jaya! ;D


R.U.B.R.I.K

Assalamualaikum dan salam sejahtera..



Apa khabar semua?  Semoga sihat sejahtera hendaknya. Pada pertemuan kali ini, kita akan berdiskusi mengenai salah satu alat yang acapkali kita dengar setiap kali ingin membuat penilaian / pemarkahan iaitu RUBRIK.

Menurut Hassan (2010),  rubrik adalah alat penialaian untuk penilaian subjektif. Ini adalah satu set kriteria dan standard yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran yang digunakan untuk menilai prestasi pelajar pada kertas, projek, esei dan tugasan yang lain. Rubrik membolehkan kita membuat penilaian standard sesuai dengan kriteria tertentu, membuat penilaian lebih sederhana dan lebih telus. Rubrik ini merupakan usaha untuk menggambarkan kriteria penilaian yang konsisten untuk grading. 

Oleh sebab adanya kriteria umum, rubrik membolehkan guru dan pelajar sama-sama untuk menilai kriteria, yang  rumit dan subjektif. Rubrik juga menyediakan asas untuk penilaian diri, refleksi, dan peer review. Hal ini bertujuan untuk penilaian yang tepat dan adil, mendorong pengertian dan menunjukkan cara untuk meneruskan dengan belajar seterusnya atau mengajar. Flash Pamela menyatakan bahawa "Apabila pelajar tahu tentang grading kriteria dari awal, mereka dapat lebih terlibat dalam proses kerja menuju maju." 


Menurut Gavin (2005), terdapat dua jenis rubrik iaitu rubrik holistik dan rubrik analitik. Rubrik holistik digunakan untuk menilai secara keseluruhan suatu penilaian, manakala rubrik analitik yang konstruknya lebih teliti dan spesifik digunakan untuk menilai suatu penilaian yang memerlukan penelitian ke atas bahagian-bahagian kecil atau spesifik. Mertler (2001) menerangkan rubrik holistik memerlukan guru untuk menilai hasil kerja pelajar secara keseluruhan dengan tidak menilai bahagian atau komponen kecil secara terperinci. Manakala, rubrik analitik memerlukan guru untuk membuat penilaian secara berasingan ke atas hasil kerja atau produk pelajar dan kemudian mendapatkan markah keseluruhan 

Antara fungsi rubrik adalah seperti berikut: 
  • Membantu tenaga pengajar untuk membuat penilaian dengan konsisten dan berkesan
  • Membantu pelajar mengetahui dan mengecapi ekspektasi pengajarnya
  • Membekalkan maklum balas kepada pelajar
Manakala, Andrade (1997) juga menjelaskan bahawa terdapat banyak kebaikan menggunakan rubrik dalam melakukan penilaian ke atas hasil pelajar. Rubrik berupaya:

  • Mempertingkat pencapaian pelajar. 
  • Memantau perkembangan pembelajaran pelajar di samping mencapai ekspektasi gurunya. 
  • Menyedarkan pelajar akan tahap penguasaannya ke atas hasil kerja sendiri. 
  • Memupuk semangat berdikari dan bertanggungjawab dalam kalangan pelajar ke atas pembelajaran.
  • Meminimumkan tempoh masa guru dalam menilai hasil kerja pelajar. 
  • Membekalkan maklum balas tentang kekuatan dan bahagian yang perlu penambahbaikan hasil kerja pelajar. 
  • Membolehkan guru dan pelajar menggunakannya kerana ia adalah mudah diguna dan diterangkan.
Pada pendapat saya, rubrik ini membantu pelajar memahami bagaimana tugas tersebut berkaitan dengan isi kursus, sebuah shared-rubrik dapat meningkatkan prestasi pelajar di dalam kelas. Selain itu, rubrik mengurangkan jumlah masa yang dihabiskan guru semasa penilaian tugasan. Rubrik umumnya dianggap dapat mempromosikan penilaian lebih konsisten dan mengembangkan lagi kemahiran penilaian diri pada pelajar apabila mereka memantau prestasi mereka secara relatif terhadap rubrik.

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Semoga bermanfaat.

Selamat Maju Jaya! ;D