Assalamualaikum dan salam sejahtera..Diharapkan sahabat sekalian dalam keadaan sihat hendaknya. Memandangkan sekarang sudah masuk ke minggu yang terakhir pembelajaran, maka masing-masing sedang sibuk menyiapkan tugasan. Alhamdulillah cuma tinggal 1 lagi tugasan Dr. Nurul yang perlu diselesaikan. Baiklah berbalik kepada topik saya diatas iaitu mengenai guru berinovasi. Apa yang membuatkan jari saya menari untuk menaip berkaitan topik ini adalah apabila baru-baru ini saya membaca satu artikel yang disiarkan oleh Berita Harian online yang mengatakan 'Guru Berinovasi adalah Guru yang Berkualiti'.
Kata-kata yang menarik perhatian saya pada tajuk artikel tersebut adalah ‘guru berinovasi’ dan ‘guru berkualiti’. Dilihat dahulu satu persatu apa yang dimaksudkan dengan inovasi dan juga kualiti. Kreatif dan inovatif sering disebut bersama-sama. Namun kedua-duanya membawa maksud yang berbeza.Mengikut kamus dewan edisi keempat (2007), kreatif bermaksud mempunyai kebolehan mencipta, menghasilkan, dan mengembangkan sesuatu idea baru dan asli manakala inovasi bermaksud sesuatu yg baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat, dan lain-lain yg baru. Dari penerangan maksud ini dapat dilihat bahawa kreatif dan inovasi adalah berbeza.
Kreatif secara ringkasnya bermaksud mencipta sesuatu yang baharu manakala inovasi memperbaiki dan mempebaharui sesuatu yang sedia ada. Ini kerana inovasi ini berasal dari perkataan bahasa latin ‘innovare’ yang bermaksud memperbaharui atau meminda. Ini disokong oleh Fullan (2011) yang menyatakan bahawa inovasi aadalah satu bentuk perubahan di mana proses inovasi itu mengiringi perubahan yang berlaku. Inovasi juga dapat ditakrifkan mengikut banyak bidang antaranya mengikut bidang industri dimanainovasi adalah apabila beberapa barang digabung menjadi satu, pengeluaran barang yang baru, modifikasi terhadap barang yang sedia ada serta kegunaan baru bagi barangan lama (Ahmad Shukri Mohd. Naim & Amran Md. Rasli, 2005).
Dengan ini apa yang dapat saya simpulkan bahawa guru yang berinovasi adalah guru yang mampu untuk menghasilkan sesuatu yang baru yang dapat meningkatkan hasil proses pengajaran dan pembelajarannya. Seseorang yang inovatif dalam bidang mereka mampu untuk menghasilkan idea baru dengan jayanya ‘dibawa ke pasaran’ sebagai produk atau perkhidmatan yang baru (atau diperbaharui).
Pada pendapat peribadi saya sendiri, guru berinovasi ini boleh dicirikan kepada beberapa perkara. Antaranya ialah guru berinovasi itu mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara bijaksana, menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Banyak cabaran yang ditempuhi oleh generasi muda terutamanya pada era globalisasi ini. Sudah sepatutnya guru harus mampu untuk menyediakan murid-murid agar mereka dapat mengharungi arus globalisasi pada masa kini.
Ciri kedua, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, sebaliknya sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah serta pendekatan yang lebih berkesan. Bagi saya, guru yang berinovasi ini adalah individu yang tidak senang dengan keadaan berada di zon selesa (comfort zone). Mereka akan sentiasa untuk mencari alternatif baru dnegan cara mempelbagaikan kaedah dan aktiviti dalam bilik rajah mereka. Ini memerlukan kerajinan dan motivasi yang tinggi. Guru yang sudah lama mengajar selalunya akan menggunakan kaedah yang sama dan mereka akan berada pada zon selesa dan pada tahap ini perubahan adalah satu yang sukar untuk dilakukan sedangkan guru sebagai seorang pengamal perlu sentiasa meningkatkan amalannya atau melakukan penambahbaikan dalam pengajaran.
Hakikatnya, guru ini bersifat all-rounded di mana guru berinovatif ini guru yang sentiasa memikirkan apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di dunia nyata. Apa yang dapat saya simpulkan dari penyataan saya ini adalah guru berinovatif adalah guru yang mampu untuk berfikir satu langkah ke hadapan. Pada pandangan saya guru seumpama ini bukan sahaja mengajarkan tentang ilmu yang tersurat di dalam kurikulum semata-mata, ia mengajarkan tentang kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan. Guru seumpama ini juga sentiasa mengubah kaedah pengajarannya mengikut peredaran masa. Contohnya pada masa sekarang, teknologi adalah salah satu aspek yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan.
Semoga dengan menghadiri kelas SFP6024 ini akan menjadi titik tolak buat saya untuk terus mengorak langkah dalam berusaha menjadi seorang guru berinovatif sekaligus berkualiti dalam mendidik anak bangsa. Doakan saya ya! Saya doakan rakan-rakan sekalian juga. Pot pet pot pet, kita sudah berada di penghujung.
Setakat ini sahaja perkongsian saya.
Selamat Maju Jaya! ;D
No comments:
Post a Comment